Salam Hormat.
Hampir sebulan saya 'tinggalkan' blog ini tanpa post.
Masa yang saya ada kini sangat-sangat terhad. Saya terpaksa bertukar kerja lain demi untuk mencari pengalaman baru sambil mengusahakan perusahaan.(Sangat sedih kerana masih makan gaji)
Kini, setiap Isnin hingga Jumaat saya berada di Bank. Saya berasa tidak bebas. Tugas saya setiap hari adalah membantu 'para usahawan' memasukkan wang hasil perniagaan mereka setiap hari. Majoriti para usahawan di kawasan itu adalah berbangsa Cina.
Saya sangat cemburu melihat kejayaan mereka. Dalam masa yang sama saya kagum dengan kebolehan mereka dan sangat yakin pada satu hari nanti saya akan berjaya seperti mereka. Insyallah.
Mereka tak perlu 'punchcard' pukul 8 pagi dan balik pukul 5 petang semata-mata hanya untuk Rm1000 sebulan. Malahan, mereka boleh buat 100 kali ganda daripada gaji bulanan saya. Walaupun tidak berpakaian kemas seperti saya setiap hari, tetapi poket mereka lebih tebal berbanding saya.
Namun begitu, setiap hari apabila waktu rehat saya banyak menghabiskan masa dengan membaca.
Seringkali saya baca bahawa,
"Perbezaan utama antara orang kaya dengan orang miskin adalah bagaimana mereka menangani rasa takut".
Ada beberapa sebab utama mengapa orang yang memahami wang dan kewangan masih tidak berjaya menambah nilai kolum asetnya, sekali gus melancarkan aliran tunainya. Antara sebab-sebab itu adalah :
1. Takut
2. Bersikap Sinis
3. Malas
4. Tabiat buruk
5. Ego
Mengatasi Ketakutan.
Saya tidak pernah bertemu dengan orang yang suka wangnya hilang ataupun rugi. Sepanjang hidup ini, saya juga tidak pernah bertemu dengan orang kaya yang tidak pernah rugi ataupun kehilangan wang. Akan tetapi, saya selalu bertemu dengan orang miskin yang tidak pernah mengalami sebarang kerugian dalam pelaburan. Ya, mereka tidak pernah rugi kerana mereka tidak pernah melabur. Mereka takut mengambil risiko.
Rasa takut kehilangan wang adalah perasaan yang munasabah. Semua orang merasakannya, termasuk orang kaya. Namun, persoalannya bukan sama ada kita takut ataupun tidak, tetapi bagaimana kita menangani ketakutan itu dan bagaimana kita menangani kerugian. Cara menangani kegagalan akan merubah hidup kita.
Tidak salah mempunyai rasa takut, kita dimaafkan bersikap penakut apabila bercakap perihal wang. Kita semua adalah hero dalam satu bidang, dan penakut dalam bidang lain.
Sebagai contoh,
Rakan saya adalah seorang jururawat di unit kecemasan hospital. Apabila dia nampak darah, dia mula beraksi. Namun, apabila saya menyebut perihal pelaburan, dia lari. Saya tidak lari apabila ternampak darah. Saya terus pengsan.
Sepanjang hidup saya, saya perasan yang kemenangan pasti menyusul selepas kekalahan. Bagi kebanyakan orang, sebab mereka tidak kaya adalah kerana rasa takut kehilangan wang yang ada dalam diri mereka lebih besar berbanding nikmat menjadi kaya.
Orang yang berjaya tahu benar setiap kegagalan yang mereka hadapi hanya akan membuatkan mereka semakin bijak dan kuat. Namun, hal ini tidak bermakna mereka suka kepada kegagalan.Mereka memastikan kegagalan yang mereka hadapi akan menjadi platform untuk mereka berjaya selepas itu.
Bagi pemenang, kekalahan memberi mereka inspirasi. Bagi orang yang kalah, kekalahan menghancurkan mereka.
Insyallah, saya akan mengulas sebab-sebab berikut pada perkongsian yang seterusnya.
Teruskan berusaha untuk perbaiki diri demi masa depan.
Semoga kita jumpa lagi pada lain waktu.
Jangan takut !
Izad Ismail,
Pengasas & CEO LittleWalk,
Sungai Besi, KL, Malaysia.